AIM 19 – Shila Amzah Dapat Anugerah Lagu Terbaik

| November 18, 2012

AIM 19 – Shila Amzah Dapat Anugerah Lagu Terbaik | Shila Amzah, pemenang tempat pertama Asian Wave, telah memenangi Anugerah lagu terbaik dalam AIM yang ke 19. Lagunya Patah Seribu telah diangkat sebagai Lagu Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik 19 (AIM 19) yang berlangsung di Stadium Melawati.

Shila Amzah mencipta sejarah untuk dirinya sendiri apabila kali pertama menerima pengiktirafan di negara sendiri selepas menjadi juara dalam pertandingan Asian Wave 2012 pada 17 September yang lalu.

Lebih bermakna lagi apabila lagu berkenaan adalah hasil ilham Shila sendiri daripada penulisan lirik sehinggalah ke penciptaan lagu.

“Saya amat terharu dengan kemenangan ini. Ia adalah kejayaan pertama saya di dalam negara sendiri ” ujar Shila Amzah selepas menerima trofi kemenangan daripada penyanyi terkenal, Hattan.

Lagu Patah Seribu turut dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Lagu Pop Terbaik menewaskan karya lain seperti Jagalah Diri (Jaclyn Victor) dan Terukir Di Bintang oleh Yuna.

Bagi kategori Album Terbaik pula jatuh kepada kumpulan Salam Musik menerusi album sulung mereka yang berjudul Salam. Mereka menewaskan calon lain seperti Stacy, Nora, Hujan dan Pesawat.

Manakala penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor juga turut merangkul dua anugerah pada malam itu menerusi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) melalui lagu Counting Days bagi anugerah Lagu Inggeris Tempatan Terbaik.

Jamal Abdillah, selaku penyanyi veteren pula merangkul trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) dan turut diumumkan sebagai penerima trofi menerusi kategori Lagu Hip Hop Terbaik gandingannya bersama Malique melalui lagu Aku Maafkan Kamu.

Untuk kategori Artis Baru Terbaik, AIM 19 menobatkan kumpulan Mojo sebagai penerima anugerah tersebut sementara Lagu Rock Terbaik diterima oleh Azlan and The Typewriter melalui lagu Idola.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tags: , , , ,

Category: Hiburan

About the Author ()

Comments are closed.