Keistimewaan Sifat Ikhlas Dalam Diri

| September 3, 2012

Melayukini.net – Keistimewaan Sifat Ikhlas Dalam Diri  | Bukan mudah untuk menjadi ikhlas. Itu yang mampu diungkapkan. Sifat ikhlas di dalam diri insan boleh diumpamakan seperti akar tunjang bagi sebatang pokok.  Walaupun tersembunyi di dalam perut bumi dan tidak dapat dilihat oleh pandangan mata, namun ia menjadi penguat dan menyokong pokok itu tumbuh tegak dan teguh walaupun dirempuh oleh angin kencang dan ribut yang melanda. Keteguhan peribadi seperti ini akan melahirkan seorang Mukmin yang mampu bertahan walaupun diuji dengan pelbagai dugaan.

Kehadiran sifat ikhlas dalam diri individu memberikan pengaruh yang sungguh besar terutamanya ke arah pembentukan peribadi yang syumul dan berkualiti sejajar dengan syariat. Antaranya

Menjauhkan Sifat Berpura-pura

Sememangnya menjadi lumrah manusia jika melakukan kebaikan mereka inginkan pujian, dipandang hebat oleh manusia, mendapat ganjaran keduniaan seperti pangkat, darjat malahan harta benda. Diri akan merasa bangga dan puas jika mendapat ganjaran keduniaan yang diimpikan. Alangkah ruginya golongan yang hanya mendapat kelebihan dunia, di sisi manusia. Namun di sisi Allah SWT semuanya kosong dan tidak bermakna. Setiap amalan yang dilaksanakan, jika tiada keikhlasan hanyalah sesuatu yang hipokrit dan berpura-pura. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Pada hari kiamat nanti, dunia akan dibawa kemudian diasing-asingkan perkara yang dikerjakan kerana Allah dan yang dilakukan bukan kerana Allah, lalu dicampakkan ke dalam api neraka”.  (Riwayat Baihaqi).

Membunuh Sifat Riya’

Sifat riya’ boleh memusnahkan pahala amalan yang dilakukan. Sekiranya melaksanakan sesuatu perkara di hadapan orang lain, perkara tersebut dilakukan dengan sebaik mungkin supaya nampak cantik pada pandangan manusia. Namun, bila bersendirian dan tidak diketahui oleh orang lain, perbuatannya hanya sekadar “melepaskan batuk di tangga”, tidak bersungguh-sungguh dan tidak sempurna. Sifat suka menunjuk-nunjuk ini dapat dihapuskan sekiranya disertai dengan keihklasan niat kerana Allah SWT.

Membentuk Jiwa yang Kental

Seorang yang ikhlas, terselit dalam setiap amalannya niat melakukan kerja kerana Allah SWT. Dalam setiap detik kehidupan pula tidak semua perkara yang dilaksanakan meraih kesempurnaan. Ada cacat cela dan kekurangan yang boleh menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati di kalangan pelakunya. Justeru, dengan keikhlasan akan terbentuk jiwa yang kental, tidak mudah mengalah dengan ujian dan kepayahan. Sekiranya kecewa pada sesuatu masa, jiwa yang ikhlas akan segera terubat kerana yakin setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Secara tidak langsung, individu yang ikhlas akan kembali bangkit untuk melaksanakan yang terbaik kerana Allah SWT tanpa terus menerus terkurung dengan kekecewaan yang telah berlaku.
 
Memupuk  Sifat Redha dan Tenang

Dunia adalah pentas ujian. Allah berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud : “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata “ Kami  beriman” sedang mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan?”. Bagi insan yang ikhlas menjalani kehidupannya, sudah pasti mereka akan sentiasa tenang walaupun terpaksa melalui kepayahan dan dugaan yang hebat. Mereka akan tetap meneruskan kehidupan dengan hati yang lapang dan redha dengan ketentuan-Nya di samping sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Kesimpulan

Keikhlasan adalah suatu sifat mahmudah yang patut disemai dalam setiap sanubari insan yang mengaku beriman. Sememangnya bukan mudah untuk menjadi seorang yang benar-benar ikhlas dalam kehidupannya kerana ia berkait rapat dengan persoalan hati manusia yang sentiasa berbolak-balik dan tidak nampak tandanya dengan jelas. Apa yang boleh dilakukan, berusahalah dengan sebaik mungkin dalam melaksanakan amalan di dunia ini dan niatkan segala-galanya kerana Allah SWT.

Hanya Dia yang selayaknya memberikan ganjaran yang benar-benar setimpal atas apa yang diusahakan. Bagi sesiapa yang telah beramal dengan penuh keikhlasan, tiba-tiba dipuja dan dipuji oleh manusia atas sumbangan dan kebaikannya, sedangkan itu semua tidak memberikan kesan kepada kecintaan dan keikhlasan kepada Allah SWT, mereka itulah yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,

“ Rasulullah SAW telah ditanya   berkenaan seseorang yang telah berbuat amal kebaikan, tiba-tiba manusia memujinya?” Jawab Baginda, “Itulah khabar gembira yang didahulukan buat para Mukmin” (Riwayat Muslim).

Melayukini.net - Di dunia yang penuh dengan pancaroba ini, bukan mudah untuk bergelar insan yang ikhlas sepenuhnya dalam diri. Ikhlas tidak boleh dibuat-buat kerana ia lahir secara sendirinya dari hati. Sebagai contoh, kita ingin membantu orang, tidak terlintas sedikit pun dihati untuk kita meminta balasan. Itulah ikhlas.

P.S. I – 5 Tempat Paling Popular di Korea
P.S. II – 10 Asrama Paling Seram di Eropah
P.S. III – Subhanallah! Tasik Ais Gergasi Di Planet Marikh

Sumber: JAKIM | Koleksi Koleksi Agama Melayukini.net

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Carian kata kunci paling popular:

  • ayat2 iklas
  • gambar ikhlas
  • gambar keikhlasan
  • hikmah ikhlas
  • kata kata hikmah ikhlas
  • kata-kata walaupun

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , ,

Category: Agama

About the Author ()

Dunia ini ibarat pentas. Kita adalah pelakonnya. Maka berlumba-lumbalah beramal supaya hidup bahagia di dunia dan akhirat.

Comments are closed.