Bolehkah Makan Selepas Waktu Imsak?

| July 31, 2012
 

Melayukini.net – Bolehkah Makan Selepas Waktu Imsak? | Apabila kita melihat jadual waktu berbuka puasa dan imsak, mungkin ada yang masih lagi keliru dengan waktu imsak ini. Mungkin sebahagian daripada kita menganggap imsak itu sebagai tanda waktu akhir bersahur, dan ada yang menganggap ia adalah sebaliknya. Jadi bilakah waktu mula berpuasa sebenarnya. Antara masalah yang disepakati ulama, ibadat puasa bermula dari naiknya fajar sadiq hingga terbenam matahari. Fajar sadiq ialah cuaca cerah waktu pagi, sebelum naik matahari. Allah berfirman:

Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu cahaya siang dari kegelapan malam, iaitu waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (al-Baqarah: 187)

Berpandukan ayat ini, ulama mentafsirkan, waktu puasa yang sebenarnya ialah waktu naik fajar subuh hingga terbenam matahari atau hingga masuknya waktu Maghrib. Selain daripada jarak antara dua waktu ini, harus bagi orang berpuasa mengambil makan, minum dan berhubung kelamin. Ini juga bermakna, jika seseorang mendengar azan yang menandakan masuknya waktu Subuh, sedangkan dalam mulutnya masih ada makanan, hendaklah dibuang. Jika ditelannya, nescaya batal puasanya.

Memang suatu kelaziman berlaku di kebanyakan negara Islam, bilal yang bertugas masjid mengumandang azan pertama sebelum azan subuh. Tujuannya ialah memaklumkan waktu Subuh hampir tiba, orang Islam yang akan menunaikan puasa pada esok hari hendaklah bersiap sedia menyempurnakan sahur, mencuci mulut dan mengambil wuduk untuk solat Subuh berjamaah. Di sesetengah negara pula membuat waktu Imsak, iaitu 10 minit sebelum masuknya waktu solat Subuh, bagi tujuan yang sama. Waktu imsak atau 10 minit sebelum Subuh itu, bukan waktu bermulanya puasa, kerana dalam tempoh ini masih diharuskan makan dan minum. Lebih tepat jika kita katakan, imsak hanya masa membuat persiapan untuk berpuasa.

Bersahur pada dasarnya sunat dilewatkan, kerana ada hadis yang menyatakan bahawa umat ini sentiasa beroleh kebajikan, jika mereka sentiasa mengamalkan prinsip segera berbuka dan lewat bersahur. (Syarh al-Sunnah, 6/253).

Ada juga hadis yang menyatakan, jarak masa antara sahur dengan waktu Subuh kira-kira masa yang menyamai bacaan 50 ayat al-Qur`an yang sederhana. Rasulullah (s.a.w.) bersabda dalam hadis riwayat Zaid Ibn Thabit, katanya yang bermaksud:

Kami bersahur bersama Rasulullah (s.a.w.), kemudian kami bangun untuk solat Subuh. Jarak antara sahur dan solat Subuh kira-kira kadar bacaan 50 ayat. (Bukhari 4/118, Muslim, bilangan 1097)

Meskipun harus bagi seseorang bersahur pada waktu imsak, tetapi bagi seseorang yang ingin berpuasa pada esok harinya, sebaik-baiknya mengambil sikap yang lebih ihtiyat (cermat) bagi puasanya, iaitu dengan menahan daripada makan dan minum beberapa waktu lebih awal daripada masa puasa yang sebenarnya. Cara ini boleh mengelakkan seseorang daripada melampaui batas-batas yang diharus dan meragukan.

Jika seseorang menganggap, waktu puasa adalah bermula daripada waktu imsak, maka anggapan itu meleset dan tidak tepat, kerana puasa seperti yang disebutkan di atas bermula daripada naiknya fajar sadiq atau waktu subuh.

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi: Jika seseorang selalu mengamalkan puasanya bermula daripada waktu imsak, maka ia telah melakukan suatu keterlaluan dalam agama ini dan bertentangan dengan Sunnah nabi s.a.w. (Fatawa Mu`sirah, 1/313).

Saya berpendapat, waktu imsak adalah waktu untuk bersiap sedia ke masjid bagi menunaikan solat Subuh. Ulama kita sebelum inipun tidak peranah diketahui ada yang mengatakan puasa bermula dari waktu itu.

Melayukini.net - Untuk memudahkan kita, anggap sahaja waktu imsak itu sebagai waktu lagi 10 minit menandakan waktu azan subuh. Waktu imsak ini juga kita masih lagi dibenarkan untuk makan dan minum selagi mana azan subuh belum berkumandang. Jika sudah azan, kita tidak boleh lagi makan atau pun minum selepas itu.

P.S. I – 6 Tempat Paling Best di Jepun!
P.S. II – 10 Tempat Eco Paling best di UK
P.S. III – Tasik Ais Gergasi Dijumpai Saintis di Marikh

Sumber: MyIbrah | Koleksi Koleksi Agama Melayukini.net

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Carian kata kunci paling popular:

  • boleh makan selepas waktu imsak sebelum azan subuh?
  • makan selepas imsak
 

Tags: , , , , , , , , , , , , , ,

Category: Agama

About the Author ()

Dunia ini ibarat pentas. Kita adalah pelakonnya. Maka berlumba-lumbalah beramal supaya hidup bahagia di dunia dan akhirat.

Comments (1)

Trackback URL | Comments RSS Feed

  1. Mat Arau says:

    Betul ke hadis tu ada kata solat Subuh?