Hukum Solat Tarawih Berjemaah 8 atau 20 Rakaat. Bidaah atau Sunnah?

| July 27, 2011

Hukum Solat Tarawih Berjemaah 8 atau 20 Rakaat. Bidaah atau Sunnah? | Menjelang Ramadhan yang tak lama lagi, baik kiranya kita ambil tahu dan mempersiapkan diri tentang isu solat tarawih ni supaya boleh kita kusyuk dan beramal dengan bersungguh-sungguh. Yelah, ada orang kata solat terawih 8 rakaat tu sunnah, ada kata solat tarawih yang 20 rakaat tu yang sunnah. Yang paling teruk, ada yang mengatakan barang siapa solat Tarawih kurang dari 20 rakaat sebagai tidak sah. Tambah orang tu lagi, selawat selepas solat tarawih tu adalah wajib dan barang siapa tidak baca sebagai tidak sah. Ish ish ish betul ke semua tu? Kalau macam tu, semua yang solat tarawih kat Masjidil Haram dan Masjid Nabawi tak sah la solatnya eh? Gila la. Orang macam tu pun ada. Ini la akibatnya terlalu taksub dengan budaya bidaah orang Melayu dan bodoh sombong untuk belajar ilmu. Setiap ibadah kena ada ilmu, bukan logik akal dan ikut-ikutan sahaja. Ini belum cerita lagi pasal fadhilat kelebihan solat terawih pada malam-malam tertentu yang hadisnya ternyata palsu. Apa-apa pun, kali ni aku cuba nak mengurai isu solat Tarawih ni yang dipetik dalam blog Ustaz Asri atau Dr Maza ni, iaitu bekas Mufti Negeri Perlis. Semoga kalian semua mendapat manfaat. P/S: Mari berdoa agar kita semua dipanjangkan umur untuk menemui Ramadhan yang akan datang dan beramal bersungguh-sungguh di dalamnya. Dalam bulan Ramadhan ada malam Lailatul Qadar iaitu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Amin.

Solat Tarawih Ramadhan PuasaGambar hiasan: Solat tarawih umpama bintang yang menghiasi kecantikan amalan puasa kita di bulan Ramadhan.

1. Sebenarnya, solat tarawih berjemaah yang pertama dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Sesiapa yang membaca hadis, akan menemui hal ini. Daripada Aishah r.aha:

“Sesungguhnya RasululLah s.a.w keluar pada suatu pertengahan malam. Baginda solat di masjid (Masjid Nabi). Beberapa orang mengikut solat baginda. Paginya orang ramai pun bercerita mengenainya. Maka berkumpul lebih ramai lagi (pada malam kedua), baginda pun solat, mereka solat bersama baginda. Paginya orang ramai pun bercerita. Maka bertambah ramai ahli masjid pada malam ketiga. RasululLah s.a.w keluar bersolat, mereka solat bersama baginda. Apabila malam keempat, masjid menjadi tidak muat dengan orang yang hadir. (Baginda tidak keluar) sehinggalah baginda keluar pada solat subuh. Selesai solat subuh, baginda mengadap orang ramai, baginda bersyahadah, dan bersabda amma ba’d, sesungguhnya bukan aku tidak tahu penantian kamu, tetapi aku bimbang difardukan ke atas kamu lalu kamu tidak mampu. Sehinggalah RasululLah s.a.w wafat dalam keadaan begitu (tiada jamaah tarawih di masjid)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini dengan jelas menunjukkan Nabi s.a.w yang memulakan solat qiam atau disebut sebagai tarawih secara berjemaah dengan satu imam. Bukan ‘Umar r.a yang memulakannya. Namun baginda berhenti kerana bimbang ia menjadi kefarduan disebabkan simpati baginda kepada umat. Ini kerana zaman tersebut adalah zaman wahyu diturunkan atau zaman pensyariatan. Baginda tidak berhenti kerana ia salah atau tidak diizinkan, namun berhenti bimbangkan Allah fardukan kepada umat sedangkan umat ini mungkin ada yang tidak sanggup.

Maka dari hadis ini, solat tarawih berjemaah adalah sunnah yang jelas. Mereka selama tiga hari telah solat di belakang baginda. Jika tidak kerana kebimbangan itu, tentu baginda meneruskannya. Apabila baginda wafat kebimbangan itu tiada lagi. Wahyu sudah terputus. ‘Umar pun menghidupkannya kembali. Pada zaman Abu Bakr, terlalu singkat masanya, dan mungkin beliau tidak berkesempatan menguruskan hal tersebut disebabkan berbagai kesibukan seperti kes murtad dan seumpamanya, atau beliau tidak melihat keperluan untuk itu.

2. Justeru itu al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H) dalam karyanya al-I’tisam mengulas hadis ini dengan berkata:

“Renungilah hadis ini. Ia menunjukkan kedudukan solat tarawih adalah sunat. Sesungguhnya solat baginda pada peringkat awal menjadi dalil menunjukkan kesahihan menunaikannya di masjid secara berjamaah pada bulan Ramadan. Baginda tidak keluar selepas itu adalah kerana bimbang difardukan. Tidak menunjukkan ia dilarang secara mutlak. Ini kerana zaman baginda ialah zaman wahyu dan tasyri’ (perundangan)..” (m.s 147, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).

Adapun berhubung dengan perkataan Saidina ‘Umar yang menyebut solat tarawih pada zamannya “sebaik-baik bid’ah hal ini”, al-Imam al-Syatibi mengulas:

“Dia menamakannya bid’ah hanya disebabkan pada zahirnya setelah mana RasululLah s.a.w meninggalkannya. Sepakat pula ia tidak berlaku pada zaman Abu Bakr r.a. Bukannya bid’ah pada makna (syarak). Sesiapa yang menamakan bid’ah disebabkan hal ini (muncul semula), maka tiada perlu perbalahan dalam meletakkan nama (istilah). Justeru itu tidak boleh berdalil dengannya untuk menunjukkan keharusan membuat bid’ah” (m.s 147-148).

Maksudnya bid’ah yang disebut oleh Saidina ‘Umar adalah disudut baru muncul semula setelah Nabi s.a.w tinggalkan, maka ia dari segi bahasa boleh dinamakan bid’ah. Bukan bererti keharusan membuat bid’ah yang dilarang syarak.

3. Berdasarkan riwayat yang sahih dalam al-Muwata karya al-Imam Malik bin Anas, bilangan rakaat yang Saidina Umar perintah dilaksanakan adalah sebelas rakaat. Kata al-Saib bin Yazid:

“Umar telah memerintahkan Ubai bin Ka’ab dan Tamim al-Dari untuk menjadi imam kepada orang ramai sebanyak sebelas rakaat” (Riwayat Malik).

Maka dengan itu riwayat al-Baihaqi melalui Yazid bin Khasifah daripada al-Saib bin Yazid yang menyebut bilangan yang ‘Umar perintahkan sebanyak dua puluh rakaat adalah bercanggah dengan riwayat sebelas rakaat yang sahih tadi. Sedangkan dari segi kekuatan riwayat, riwayat sebelas rakaat itu lebih kuat, maka riwayat dua puluh dianggap shaz (ganjil) kerana menyanggahi rawi yang lebih kuat.

Justeru, riwayat dua puluh dihukum daif oleh sesetengah ahli hadis. Sebahagian pula menerima riwayat Yazid bin Khasifah dan mentakwilkan bahawa ada hari Umar memerintahkan sebelas rakaat dan ada hari pula yang diperintahkan dua puluh. Apapun, hadis al-Imam Malik tadi yang menyebut sebelas rakaat menafikan dakwaan yang menyatakan sesiapa yang solat tarawih beserta witir sebelas rakaat tidak sah. Itu adalah dakwaan yang melampau dan zalim.

4. Sebenarnya, para ulama salaf solih sendiri berbeza pendapat tentang bilangan rakaat bagi solat tarawih bersama witir. Antaranya, pendapat yang menyatakan empat puluh satu, tiga puluh sembilan, dua puluh sembilan, dua puluh tiga, tiga belas dan sebelas. Adapun dari segi riwayat amalan Nabi s.a.w, Ummul Mukminin Aishah r.aha ditanya mengenai solat Rasulullah s.a.w pada bulan Ramadan, jawab beliau:

“Rasulullah s.a.w tidak pernah melebihi sebelas rakaat samada dalam bulan Ramadan ataupun selainnya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini juga menunjuk perbuatan mencela solat tarawih sebelas rakaat adalah menyanggahi sunat Nabi s.a.w. Bahkan ramai ulama hadis yang mengutamakan bilangan sebelas rakaat ini sebagai mencontohi Rasulullah s.a.w.

5. Saya bersetuju dengan pendapat bahawa tiada had rakaat yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w. dalam hal ini. Seseorang beribadah berdasarkan kemampuannya. Nabi s.a.w tidak pernah menetapkan, bahkan memberikan keluasan dalam hal tersebut dengan menyatakan solat malam dua rakaat, dua rakaat sehingga apabila hendak masuk subuh berwitirlah. Lajnah Tetap dan Kajian Ilmiah serta Fatwa, Arab Saudi sendiri ketika mengulas hal menyebut:

“Tiada menjadi salah untuk menambah lebih dari sebelas kerana Nabi s.a.w tidak pernah menghadkannya sedikit pun. Bahkan apabila ditanya tentang solat malam baginda menyebut: “Dua rakaat, dua rakaat (secara dua rakaat setiap solat), jika seseorang kamu bimbang masuk waktu subuh, maka solatlah satu rakaat sebagai witir kepada apa yang telah dia solat sebelum” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis ini baginda tidak menghadkan sebelas atau selainnya. Ini menunjukkan ada keluasan dalam solat malam pada Bulan Ramadan atau selainnya”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 7/195, Riyadh: Riasah Idarah al-Buhuth).

6. Adapun dakwaan bahawa sesiapa yang tidak berselawat semasa solat tarawih sesat maka itu adalah dakwaan yang melampau. Apakah beliau ingin menyatakan seluruh dunia Islam yang sebahagian besarnya tidak berselawat, termasuk Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabi itu sesat?!

Selawat beramai-ramai semasa solat tarawih itu tidak dilakukan di zaman Saidina Umar, juga khalifah al-Rasyidin yang lain. Jika pada zaman Saidina Umar dan Saidina Uthman mereka bersalawat dan menyebut nama khalifah-khalifah selepas Nabi s.a.w seperti yang dilakukan oleh sesetengah pihak di negara ini, tentulah para sahabat tidak tertanya-tanya lagi siapakah bakal mengganti kedua khalifah tersebut selepas kewafatan mereka. Tentu tiada perbincangan lagi dalam menentukan para khalifah semasa zaman sahabah. Ini menunjukkan hal ini tidak dilakukan oleh para sahabah. Mencontohi Nabi s.a.w dan para sahabah dalam ibadah adalah paling baik dan selamat.

7. Di sana ada riwayat yang sahih

“Bahawa Nabi s.a.w berwitir dengan membaca Surah al-A’la, al-Kafirun dan al-Ikhlas. Baginda menyebut selepas member salam Subhana al-Malik al-Quddus sebanyak tiga kali dengan memanjang dan mengangkat suara baginda” (Riwayat al-Nasai, Abu Daud dan Ahmad).

Maka, jika kita mencontohi perbuatan tersebut, ia merupakan sunnah.


Sumber: Dr Maza aka Ustaz Asri

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Carian kata kunci paling popular:

  • hukum bidaah

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

Category: Agama

About the Author ()

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan." (Surah Al-‘Alaq 96: 1)

Comments (5)

Trackback URL | Comments RSS Feed

  1. juaidy zakaria says:

    Assalamualaikum. Ive been folowing your blog for the last 4 months and I must say your blog is one of the most informative, excellent blog. Sepatutnya kita semua patut memperbanyakkan blog blog sebegini daripada mengulas isu artis etc… Ko dulu batch safrizal kan?? Ape cerita skrg??

  2. Waalaikumsalam bro.

    Thanks la sebab follow blog ni. Main-main je ni, hobi di kala lapang. Ni Juaidy abang safrizal ke? Cerita aku sekrang macam biasa je. Ko kenal Rahmat dan Azad mrsm taiping kan? Aku satu tempat kerja ngan depa sekarang. Bro apa citer pulak?

    [WORDPRESS HASHCASH] The poster sent us ’0 which is not a hashcash value.

  3. juaidy zakaria says:

    ye.aku le abang kpd saf. Aku keje kat Ireland. Kirim salam kat rahmat n azad. Nnt aku cari facebook rahmat n azad

  4. Ok insyaAllah. Rahmat takde facebook. Dia boikot kot hahaha…

    [WORDPRESS HASHCASH] The poster sent us ’0 which is not a hashcash value.

  5. Abu Ahmed says:

    “Yelah, ada orang kata solat terawih 8 rakaat tu sunnah, ada kata solat tarawih yang 20 rakaat tu yang sunnah. Yang paling teruk, ada yang mengatakan barang siapa solat Tarawih kurang dari 20 rakaat sebagai tidak sah. Tambah orang tu lagi, selawat selepas solat tarawih tu adalah wajib dan barang siapa tidak baca sebagai tidak sah. Ish ish ish betul ke semua tu? Kalau macam tu, semua yang solat tarawih kat Masjidil Haram dan Masjid Nabawi tak sah la solatnya eh? Gila la. Orang macam tu pun ada. Ini la akibatnya terlalu taksub dengan budaya bidaah orang Melayu dan bodoh sombong untuk belajar ilmu”

    Salam, tak pernah lagi sepanjang hidup saya dengar statement macam ni… ustaz mana? tok guru mana? kalau nak cerita pasal bidaah saya rasa tak perlu intro macam ni.